Oleh HAFIZAH ISZAHANID
KEINGINAN untuk cepat kurus, cantik, segar dan mengembalikan ‘keperawanan’ membuatkan ibu tidak sabar-sabar mengambil pelbagai jenis jamu sebaik saja bersalin.
Bukan salah, tetapi perlu anda ketahui mengambil jamu dalam tempoh 14 hari selepas bersalin sebenarnya meningkatkan risiko bayi mendapat penyakit kuning. Apatah lagi jika anda memiliki darah jenis O.
Pakar Perunding Pediatrik Pusat Perubatan Apollo TTDI, Dr Sharifah Khatijah Syed Hassan, berkata ada banyak faktor meningkatkan risiko bayi berhadapan dengan penyakit kuning. Walaupun penyakit kuning dialami 60 peratus bayi matang dan 80 peratus bayi pramatang tetapi beberapa faktor termasuk pengambilan jamu dalam tempoh 14 hari selepas kelahiran meningkatkan lagi risiko bayi mendapat penyakit kuning.
“Memang normal untuk bayi yang baru dilahirkan mendapat penyakit kuning. Bagaimanapun kadangkala sakit kuning boleh menjadi tanda kepada masalah kesihatan lebih serius dan jika tidak dirawat boleh membawa kematian. Tetapi secara umumnya ia adalah normal bagi bayi yang baru dilahirkan,” katanya.
Dr Sharifah Khatijah berkata, sakit kuning ditandai dengan warna kuning yang kelihatan pada mata dan kulit. Selain itu najis juga tidak berpigmen (berwarna kuning pucat atau putih).
Katanya, warna kuning yang terjadi pada mata dan kulit disebabkan kenaikan paras bilirubin (sel darah merah lama) dalam sistem darah. Peningkatan itu terjadi kerana ketidakseimbangan antara produksi dan penyingkiran bilirubin.
Bilirubin dikeluarkan dari badan menerusi air kencing dan najis. Ketika hamil, tubuh ibu akan menyingkirkan bilirubin daripada fetus melalui placenta. Selepas lahir, tubuh bayi perlu menyingkirkan bilirubin sendiri.
Tahap bilirubin pada bayi yang baru lahir boleh meningkat kepada terjadinya sakit kuning kerana organ yang belum matang tidak boleh memenuhi keperluan menyingkirkan bilirubin dari tubuh. Kerana itu, bayi baru lahir boleh berhadapan dengan masalah kekurangan air (dehydrated). Kekurangan air memperlahankan tindakan menyingkirkan 'bahan buangan' yang meningkatkan masa yang perlu diambil bilirubin untuk keluar dari tubuh melalui air kencing dan najis. Komponen susu ibu juga boleh menjejaskan cara bilirubin diproses.
“Sakit kuning terbahagi kepada dua - fisiologi (sakit kuning yang normal dan berlaku di kalangan bayi baru lahir) dan patologikal (terjadi terlampau awal iaitu dalam tempoh 24 jam selepas kelahiran). Di Malaysia, kebanyakan bayi berhadapan dengan sakit kuning fasiologikal. Sakit kuning patologikal bukan kes terpencil tetapi tidak kerap berlaku,” katanya.
Sakit kuning patologikal terjadi disebabkan pelbagai faktor seperti darah yang tidak bersesuaian antara ibu dan anak (misalnya ibu berdarah O anak berdarah A), penyakit berkaitan darah, sindrom genetik, penyakit hati, jangkitan, ubat-ubatan yang diambil atau mungkin terjadi disebabkan masalah kurang air, lahir pramatang atau kelahiran yang sukar. Ada juga sakit kuning dikaitkan dengan susu ibu. Ia dikenali sebagai ‘breastfeeding jaundice’ dan ‘breast milk jaundice’.
Dr Sharifah berkata, jika sakit kuning hanya terjadi di muka, biasanya penyakit kuning tidak begitu teruk tetapi jika sudah melampaui hingga ke bahagian tubuh dan paha, ia dianggap serius.
Kebanyakan bayi berhadapan dengan sakit kuning pada minggu pertama kelahirannya, Malah, sakit kuning lebih berisiko bagi bayi yang lahir tidak cukup bulan, berat badan di bawah paras normal dan bayi yang lahir menggunakan vakum.
Sakit kuning selalunya hilang atau berkurangan dengan sendirinya dalam tempoh tujuh hari jika bayi itu sihat, matang dan menyusu. Bagi bayi yang menyusu badan, kes sakit kuning yang ‘mild’ kadangkala kembali antara 10 atau 14 hari selepas lahir tetapi itu tidak bermaksud ibu harus menghentikan penyusuan.
Bagaimana mencegah sakit kuning?“Lagi cepat beri bayi minum susu mengurangkan kemungkinan mendapat sakit kuning. Misalnya, dua jam pertama selepas kelahiran terus beri bayi minum,”
“Memberi susu badan lebih berisiko untuk bayi mendapat sakit kuning (breast milik jaundice) berbanding memberi bayi susu formula tetapi ia bukan alasan untuk menghentikan pemberian susu ibu. Ini kerana bayi yang menyusu susu ibu akan membuang najis sebanyak lapan ke 10 kali sehari dan ia meningkatkan penyingkiran bilirubin dari tubuh,” katanya.
Katana, perlu diketahui sakit kuning akan bertambah teruk jika bayi kurang minum, bayi lahir dengan tahap hemoglobin yang tinggi (lebih 20gm/dl) atau bayi tidak menyusu dengan jumlah sepatutnya.
Amalan tradisional
Menjemur di bawah cahaya matahari boleh dilakukan tetapi sebelum jam 9.40 pagi. Cahaya matahari yang berwarna biru akan membebaskan bilirubin menjadi larut air.
Tetapi pastikan bayi tidak terdedah terus kepada cahaya matahari sebaliknya letak di tepi tingkap dan dalam tempoh waktu yang singkat.
Jika terlalu lama, bayi mungkin berhadapan dengan masalah lain pula seperti kekurangan air. Rawatan terbaik untuk sakit kuning adalah ‘phototherapy’ tetapi bukan semua bayi yang mengalami masalah kuning memerlukannya. Jika bayi itu sihat, matang dan menyusu, sakit kuning akan hilang dengan sendirinya dalam tempoh tujuh hari, tetapi bayi masih perlu dibawa berjumpa doktor sebaik dikesan mendapat sakit kuning.
Komplikasi sakit kuning
Bilirubin boleh merosakkan otak - alasan utama mengapa ia perlu diubati. Risiko untuk blirubin merosakkan sel otak berlaku dalam tempoh 36 jam terutama pada bayi pramatang, bayi yang lahir dengan berat yang sedikit dan bayi yang sakit. Bilirubin boleh tembus ke otak dan menyebabkan kerosakan dan satu daripada masalah kesihatan yang akan timbul adalah cerebal palsy dan pekak (high frekuensi neuro deafness). Ia boleh membawa maut jika tidak dirawat.
FAKTA
Mengapa ada bayi yang tidak terkena sakit kuning?
• Mendapat susu ibu seawal dilahirkan
• Hemoglobin bayi sekitar 15-18 gm/dl
• Ibu bukan pemilik darah jenis O
• Jika ibu pernah berhadapan dengan masalah anak kuning sebelum ini terutama jika anak itu lelaki, kemungkinan untuk anak seterusnya berhadapan dengan masalah yang sama agak besar.
INFO
Bilirubin - Produk sel darah merah lama. Mengenalinya cukup mudah, jika bahagian tubuh anda lebam, cuba perhatikan sel darah merah yang rosak itu akan berubah warna sehingga bahagian lebam itu sembuh. Tahap warna kuning dalam perubahan warna itu adalah bilirubin.
Taken from http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Sunday/Kesihatan/20060730105421/Article
No comments:
Post a Comment