Ramai kanak-kanak berusia antara 2 hingga 5 tahun mengalami gagap. Gagap adalah satu gangguan pertuturan. Dalam banyak kes, keadaan gagap ini akan berakhir dengan sendiri ketika berumur 5 tahun, tetapi ada sesetengah yang berlarutan hingga remaja. Tiada ubat moden untuk gagap, tetapi terdapat skima rawatan untuk membantu anak-anak anda mengatasi masalah ini.
Apa Penyebab Gagap?
Para pakar mengatakan factor-faktor yang mungkin menyebabkan kegagapan adalah:-
- Genetik – 60% daripada kanak-kanak yang gagap mempunyai saudara terdekat yang juga pernah mengalami gagap.
- Permasalahan pertuturan dan bahasa atau tumbesaran yang perlahan daripada biasa.
- Perbezaan dalam cara minda memproses bahasa, dan berinteraksi dengan otot-otot pertuturan.
Petanda Awal Gagap.
Pentanda awal mula muncul apabila umur kanak-kanak antara 18 hingga 24 bulan, iaitu ketika mereka mula mengumpul perkataan untuk membuat ayat. Bagi ibubapa, kegagapan ini mungkin mengecewakan, tetapi sedikit gagap adalah normal pada umur begini. Adalah penting ibubapa mengambil sikap sabar dengan anak-anak.
Kanak-kanak mungkin gagap untuk beberapa minggu atau bulan secara rawak. Kebanyakan kanak-kanak yang mula gagap sebelum usia 5 tahun sembuh tanpa perlu apa-apa rawatan. Namun sebelum umur 3 tahun, jika anak anda gagap secara berterusan, atau semakin bertambah buruk atau kegagapannya melibatkan pergerakan tubuh atau wajah, inilah masa untuk berjumpa pakar kanak-kanak dan pakar bahasa.
Tahun-tahun Persekolahan
Selalunya gagap akan berkurangan dengan banyak ketika kanak-kanak memasuki sekolah rendah dan mula mengasah kemahiran berkomunikasi. Jika mereka berterusan gagap pada usia ini, kanak-kanak ini selalunya menyedari masalah mereka dan mungkin berasa malu dengan keadaan itu. Rakan sekelas mungkin akan mengejek dan memberi tumpuan negative terhadap mereka. Jika ini berlaku, bercakaplah dengan guru kelas mereka. Guru mungkin boleh memastikan suasana kelas yang lebih selesa dan mengurangkan tekanan untuk mereka bercakap di dalam kelas.
Apa Ibubapa Boleh Buat?
Lakukan perkara berikut untuk membantu anak anda yang gagap:-
- Jangan paksa anak anda bercakap dengan tepat dan betul setiap masa. Biarkan percakapan menjadi selesa dan menyeronokkan.
- Jadikan masa makan bersama sebagai waktu untuk bersembang. Tutup semua gangguan lain seperti tv dan radio.
- Elakkan pembetulan dan kritikan seperti “cakap perlahan-lahan!”, “jangan kelam-kabut!”, “tarik nafas dahulu…”. Walaupun komen ini dilakukan dengan niat yang tulus dan baik, ia akan menyebabkan anak tersebut merasa terasing.
- Elakkan menyuruh anak anda bercakap atau membaca dengan kuat apabila ia tidak selesa atau apabila keadaan gagapnya bertambah. Ketika waktu ini, galakkan aktiviti yang kurang melibatkan pertuturan.
- Jangan memotong percakapan anak anda atau menyuruhnya bermula semula.
- Kekalkan pandangan mata biasa dengan anak anda. Cuba untuk tidak memandang ke tempat lain atau menunjukkan tanda anda kecewa.
- Ada pendapat mengatakan aktiviti dan latihan melompat-imbang seperti melompat-lompat atas tilam spring dapat menyembuhkan gagap. Mungkin ini sesuatu yang patut dicuba.
No comments:
Post a Comment