Friday, April 6, 2012

Melegakan sakit secara semula jadi semasa pelahiran

Dapatkan kehangatan

Ambil beg diperbuat dari kain, isikan dengan sekam gandum dan panaskan untuk beberapa minit dalam ketuhar gelombang mikro dan kemudian lekapkan di belakang anda untuk membantu melegakan kontraksi anda. Beg gandum tersebut akan kekal panas untuk sejam atau lebih. Untuk mendapatkannya, anda mungkin perlu membelinya dari kedai kehamilan secara atas talian.

Pilihan lain ialah menggunakan botol air panas diisi dengan air panas (bukan mendidih), dibalut dengan tuala dan diletakkan di belakang anda.

Jangan lupa bahawa urut juga memberikan kepanasan. Mendapatkan seorang untuk mengusap belakang anda akan memanaskan kulit ada dan juga merangsang badan anda untuk melepaskan bahan semula jadi untuk melegakan sakit.

Apabila kepala bayi anda mahu keluar, cuba letakkan flanel yang lembut dan panas atas perineum (tisu di antara belakang vagina dan bahagian belakang anda) dan ini akan melegakan sensasi regangan. Walaupun ini bukanlah amalan biasa, bertanyalah dengan doktor anda dan sertakan ini dalam rancangan pelahiran anda.

Pernafasan

Jika anda berfokus kepada pernafasan, ini merupakan cara yang terbaik untuk menghadapi setiap kontraksi. Tarik nafas dalam pada permulaan kontraksi dan r-e-l-a-k-s semasa anda menghembus nafas. Kemudian, tarik nafas melalui hidung anda dan hembuskan nafas melalui mulut anda, dengan melembutkan mulut dan pipi anda. Jangan terlalu risau mengenai berapa dalam anda menarik nafas, cuma pastikan anda mempunyai ritma yang baik. Tarik nafas melalui hidung anda dan hembus nafas melalui mulut yang lembut. Dan lakukannya berkali-kali. Tumpukan sepenuhnya kepada pernafasan anda semasa kontraksi meningkat dan semasa ia reda. Apabila kontraksi sudah berakhir, r-e-l-a-k-s.

Berehat

Pada awal pelahiran, perkara terbaik yang anda boleh lakukan ialah menyediakan diri anda untuk menanggung kesakitan dengan menyimpan tenaga anda secara berehat. Pastikan diri anda seselesa dengan berada di atas katil atau kerusi. Letakkan bantal di sekeliling anda. Mainkan muzik kegemaran anda atau tonton TV dan BEREHAT! Ambillah minuman panas jika anda di rumah (kebanyakan hospital tidak membenarkan wanita makan atau minum semasa pelahiran). Kelak nanti, anda akan mendapati bahawa adalah mudah untuk menghadapi kontraksi yang sakit jika anda tidak keletihan sebab telah bekejar ke sini ke sana masa pelahiran bermula.

Menukar posisi

Cuba elakkan dari berehat atas katil apabila kontraksi anda semakin kerap dan sakit kecuali anda merasa terlalu letih. Pelahiran anda akan bergerak dengan lebih perlahan jika anda berbaring dan apabila perlahiran semakin panjang, semakin letihlah anda nanti. Banyakkan berdiri - tetapi pilihlah satu posisi yang berasa selesa. Berdiri dan bersandarlah pada katil atau suami anda. Atau berlutut dan bersandar atas kusyen kerusi. Berlutut dengan satu kaki diangkat akan menyediakan lebih ruang dalam pelvis anda dan memudahkan bayi anda dilahirkan. Duduklah dalam keadaan merangkak untuk melegakan sakit belakang. Duduk sebentar di kerusi, kemudian bangun dan berjalan untuk seketika. Goyangkan punggung anda sebanyak mungkin – ini akan menggalakkan bayi untuk bergerak!

Urut

Beritahu suami atau rakan pelahiran anda bahagian mana yang anda mahu diurutkan. Anda mungkin mahu diurut di bahagian bawah belakang anda semasa kontraksi. Atau mungkin anda mahu bahu anda diurut di antara kontraksi untuk membantu anda relaks. Beritahu orang yang menemani untuk mengurut dengan perlahan. Jika dia mula mengusap dengan laju, anda akan berasa panik, dan bukannya lebih relaks! Dia perlu menggunakan tekanan yang kukuh untuk merangsang badan untuk melepaskan endorfin, hormon 'rasa lega' yang membuatkan urutan menjadi pengalaman yang positif.

Perasaan disayangi

Kajian menunjukkan bahawa apabila wanita mempunyai orang yang istimewa bersamanya semasa pelahiran, yang menenangkannya dan sentiasa di sisinya, wanita itu akan melahirkan dengan lebih cepat dan mudah, dan ini tidak akan berlaku jika dia tidak mendapat sokongan kasih sayang. Jadi pilihlah rakan pelahiran dengan berhati-hati. Pilihlah seorang yang tidak akan panik; yang percaya akan kebolehan anda; dan orang yang yakin apabila bercakap dengan ahli profesional kesihatan bagi pihak anda. Orang ini mungkin suami anda atau orang yang lain – kakak atau ibu atau rakan baik anda. Atau anda mungkin memilih dua orang rakan pelahiran. Ini bergantung kepada anda.

Walau bagaimanapun, berwaspadalah, sebab sesetengah hospital enggan menerima dua orang rakan pelahiran dalam bilik bersalin pada masa yang sama oleh sebab kekurangan ruang. Walau bagaimanapun, mungkin pihak hospital akan membenarkan seorang rakan pelahiran bersama anda pada satu-satu masa. Ini perlu dibincangkan dengan doktor anda dan keputusan anda perlu dicatitkan sebagai nota doktor dari awal lagi sebelum tarikh bersalin anda.

Skil tahap profesional

Pakar obstretik tidak akan berada di bilik bersalin bersama anda sepanjang pelahiran anda. Dia akan datang dari semasa ke semasa untuk memeriksa anda, membantu anda membuat keputusan mengenai bagaimana boleh melegakan sakit dan sudah tentu akan hadir untuk kelahiran bayi anda. Pada masa-masa lain, anda akan dibantu oleh bidan; dialah yang akan memaklumkan kepada anda tentang perjalanan proses pelahiran anda sepanjang masa. Jika anda mahu melegakan sakit secara semula jadi bagi kontraksi, dia akan membantu anda dan jika anda memilih epidural, dia juga akan menyokong anda. Jika anda tidak berjaya menjalin hubungan yang baik dengan bidan yang diberi, mintalah untuk ditukarkan dengan bidan lain. Dia tidak akan tersinggung. Mungkin juga dia juga berasa yang anda sukar untuk dibantu! Anda berdua akan lebih gembira jika anda mendapatkan orang yang lain.

Maklumat lanjut mengenai cara semula jadi untuk melegakan sakit

Berikut disenaraikan maklumat lanjut tentang bagaimana anda boleh menangani kesakitan dan menguruskan proses pelahiran anda dengan baik:

• Dapatkan maklumat lanjut: lebih banyak yang anda tahu, lebih relakslah anda.

• Bernafas secara beritma dan relaks semasa anda menghembus nafas.

• Dakap suami anda atau teman pelahiran anda.

• Minum sedikit air sambil menunggu antara kontraksi.

• Makan makanan yang kaya dengan karbohidrat apabila anda terasa lapar.

• Kipas diri anda dengan kipas elektrik.

• Mengerang dan mengadoilah: inilah satu-satunya masa anda harus menhapuskan rasa malu anda sebab mengeluarkan bunyi menunjukkan kesakitan adalah cara terbaik untuk melegakan kesakitan!

• Pegang tangan suami anda.

• Bayangkan bayi anda bergerak turun ke pelvis anda dengan setiap kontraksi.

• Berguraulah dengan suami anda; adakan perspektif positif!

• Ciuman (daripada suami, ibu, kakak dan rakan anda).

• Dengar musik untuk membantu anda relaks.

• Bergerak untuk membuatkan anda seselesa mungkin.

• Baring di atas longgokan bantal yang besar atau kusyen besar (anda boleh meminta pihak hospital menyediakan bantal atau anda boleh bawa bantal anda sendiri).

• Bukalah pelvis anda seluas mungkin untuk membantu anda melahirkan bayi anda, contohnya, berlutut di atas satu kaki dengan yang sebelah lagi keluar di sisi.

• Berfikir secara positif: 'Setiap kontraksi membawa saya hampir kepada kelahiran bayi saya'.

• Menyoallah tentang apa yang anda kurang faham; menjadi takut akan membuatkan kesakitan menjadi lebih teruk.

• Goyangkan pelvis anda dalam bulatan, ke belakang dan ke hadapan dengan setiap kontraksi.

• Hembus nafas secara perlahan dengan setiap nafas.

• Percayalah dengan badan anda; sesungguhnya anda pandai melahirkan bayi!

• Fahami rawatan yang ditawarkan; jika anda faham, anda boleh bekerjasama dan memudahkan keadaan.

• Kerap pergi ke tandas; pundi kencing yang penuh akan melambatkan pelahiran anda.

• Berjalan-jalanlah untuk melegakan lenguh dan sakit dan merangsang kontraksi.

No comments:

Post a Comment