Wednesday, February 2, 2011

PM umum kerajaan bawa balik semua pelajar dari Mesir guna kapal TLDM, MAS dan AirAsia...



Ketegangan yang berterusan di Mesir menyebabkan kerajaan pada Selasa malam memutuskan untuk membawa keluar pelajar-pelajar Malaysia dari republik itu menerusi laut dan udara.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kenyataannya berkata keputusan itu dibuat setelah mendapat laporan daripada delegasi Malaysia ke sana yang diketua Timbalan Menteri Luar A. Kohilan Pillay dan turut disertai Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Sahlan Ismail.
"Beberapa langkah segera akan diambil untuk membawa keluar pelajar-pelajar kita dari Mesir," katanya.

Keadaan di Mesir tegang berikutan lebih 2 juta rakyat negara itu keluar ke jalan raya mendesak Presiden Hosni Mubarak melatak jawatan.

Kekacauan menyebabkan bekalan makanan terjejas dan berlaku jenayah kerana sistem keselamatan di republik yang mempunyai 80 juta penduduk itu lumpuh sama sekali.

Najib memberitahu rakyat Malaysia di Mesir akan dipindahkan dengan meminta kapal Bunga Mas 5, iaitu sebuah kapal serbaguna yang dikawal oleh Tentera Laut Diraja Malaysia yang bertugas di Teluk Aden, untuk belayar ke Pelabuhan Adabiyah yang terletak kira-kira dua jam setengah perjalanan dari selatan Kaherah, bagi membawa keluar pelajar-pelajar berkenaan.

"Kapal itu dijangka tiba di Pelabuhan Adabiah pada 5 Februari. Ia dapat memuatkan kira-kira 500 pelajar kita," katanya.

Najib juga berkata bahawa beliau sudah berunding dengan Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman untuk meminta syarikat penerbangan Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) dan AirAsia untuk melakukan penerbangan khas ke Kaherah untuk membawa keluar pelajar-pelajar Malaysia.

"Mereka (MAS dan AirAsia) akan memaklumkan kepada saya Rabu mengenai kemungkinan menggunakan pesawat mereka untuk tugas ini," katanya.

Beliau berkata kerajaan juga akan berusaha membawa pelajar-pelajar Malaysia ke Jeddah untuk ditempatkan sementara di pusat Tabung Haji di sana sehingga ada penerbangan pulang ke Malaysia.

Bagaimanapun menurutnya ada beberapa perkara yang perlu diselesaikan terlebih dahulu termasuk urusan visa pelajar berkenaan.

"Kerajaan sedang berurusan dengan kerajaan Arab Saudi untuk mendapatkan kebenaran khas membawa para pelajar kita ke Jeddah," kata Najib.

Perdana Menteri berkata kerajaan akan memberi maklumat lanjut mengenai perkara itu kepada pelajar dan ibu bapa pada Rabu.

Sementara itu Kohilan yang berada di Kaherah ketika dihubungi Bernama berkata pesawat C-130 Charlie Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) juga akan digunakan bagi membawa keluar pelajar Malaysia di Mesir secara berperingkat ke negara jiran terdekat.

Katanya Dewan Malaysia Abbasiyah, Rumah-Rumah Negeri di Kaherah, dan Rumah MARA di Iskandariah menjadi kawasan perlindungan selamat kepada pelajar-pelajar dan rakyat Malaysia di Mesir.

"Bagi memastikan keselamatan di sana (rumah perlindungan) serta keperluan harian mencukupi, kerajaan akan meningkatkan kawalan keselamatan serta menyalurkan dengan segera bekalan makanan serta keperluan yang lain," katanya.

Terdahulu beliau dan Sahlan Ismail yang mengadakan perjumpaan dengan pegawai-pegawai Rumah Negeri dan wakil-wakil pelajar di Mesir, mendapati rata-rata pelajar Malaysia berada dalam keadaan terkawal dengan moral mereka tinggi.

Sementara itu, Sahlan berkata pegawai kedutaan ditempatkan dengan segera di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah untuk membantu pelajar dan warganegara Malaysia yang terkandas.

"Kami hadapi masalah untuk berikan bantuan makanan dan minuman ekoran laluan di bandar dan lorong dikawal oleh penduduk Mesir yang berdemonstrasi, jadi tugas pegawai kedutaan adalah untuk menyediakan makanan, dan minuman di samping membantu dalam urusan tempahan tiket," katanya.

Beliau berkata sehingga ini 150 pelajar dan rakyat Malaysia yang terkandas sejak Sabtu lepas berjaya pulang ke tanah air dengan pembiayaan sendiri menerusi Oman, Abu Dhabi dan Amsterdam.

"Kami jumpa mereka di lapangan terbang dan beri kata-kata semangat sebelum mereka pulang, kami juga akan usahakan untuk (bawa pulang) yang lain," katanya.

Sahlan berkata dalam masa yang sama rakyat Malaysia atau ibu bapa khususnya dinasihatkan agar menangguhkan perjalanan yang tidak perlu ke Mesir memandangkan amat sukar untuk mendapatkan penerbangan pulang, di samping kesesakan lapangan terbang dan perintah berkurung yang dikuatkuasakan.

Beliau berkata kerajaan dan pejabat kedutaan akan terus menyalurkan maklumat mengenai perkembangan semasa kepada semua pelajar dan pegawai-pegawai Malaysia di Mesir serta kepada rakyat Malaysia.-1/2/2011

sumber berita agenda daily..

1 comment: