Wednesday, June 27, 2012

Beza Tanda palsu Kelahiran dengan Yang Sebenar


Apakah itu kontraksi Braxton Hicks?

Satu masa pada pertengahan kehamilan anda (atau lebih awal), anda akan merasakan otot uterus (rahim) anda mengecut. Jika anda meletakkan tangan pada perut semasa ini berlaku, anda boleh merasa betapa kerasnya uterus anda pada saat itu.
Setiap pengecutan hanyalah untuk setengah minit sahaja, dan barangkali anda tidak berasa tak selesa. Anda mungkin mengalami sensasi ini satu atau dua kali dalam satu jam, pada masa-masa tertentu dalam sehari. Bukan semua kita akan merasakan kontraksi-kontraksi ini, yang mengambil nama seorang doktor bangsa Inggeris yang mula mendeskripsikannya dalam tahun 1872.

Apakah tujuan kontraksi Braxton Hicks?
Kontraksi Braxton Hicks mungkin petanda yang uterus anda sedang melatih serat-serat ototnya. Mungkin kontraksi-kontraksi itu adalah cara uterus anda menjaga keadaan baik dan bersedia untuk bekerja keras bila tiba masa bersalin.
Ada pakar-pakar yang berpendapat bahawa kontraksi-kontraksi mempengaruhi serviks anda. Pada peringkat awal kelahiran, serviks anda mula memendek dan menjadi lebih lembut sebagai persediaan untuk mengembang bagi menyenangkan perjalanan bayi. Jadi mungkin kontraksi Braxton Hicks adalah cara serviks dilatih bagi peringkat ini.
Yang lain pula percaya bahawa kontraksi Braxton Hicks tidak membawa perubahan kepada serviks dan juga percaya bahawa perubahan hanya berlaku semasa pra-kelahiran, apabila kontraksi yang berkoordinasi bermula atau semasa proses kelahiran itu sendiri.

Bagaimana untuk saya mengetahui perbezaan antara Braxton Hicks dan kontraksi kelahiran sebenar?
Kebanyakan wanita yang hamil buat pertama kali akan bertanya soalan ini kepada doktor atau rakan-rakan, dan jawapannya selalu kabur dan tidak memuaskan: “Anda akan tahu akan kelahiran sebenar apabila ianya berlaku.”
Memang ada perbezaan antara kontraksi Braxton Hicks dan kontraksi kelahiran sebenar.
Kontraksi Braxton Hicks:
* biasanya tidak melebihi satu atau dua kali dalam masa sejam, beberapa kali sehari;
* lazimnya berhenti bila anda bertukar aktiviti, jadi pergilah berjalan kalau anda berduduk, dan sebaliknya;
* tidak teratur, dan jika teratur pun hanya untuk sekejap sahaja;
* tidak tahan lama, biasanya kurang dari satu minit;
* terus tidak boleh diduga dan tidak beritma;
* tidak bertambah intensiti.
Dibanding dengan kontraksi Braxton Hicks, kontraksi yang sebenar:
* tahan lama;
* lebih teratur;
* lebih kerap;
* lebih menyakitkan;
* lebih panjang dan lebih berkala, lebih kerap dan lebih sakit.
Anda mungkin juga mengalami sakit kelahiran palsu. Ini berlaku bila kontraksi Braxton Hicks lebih beritma, iaitu mungkin setiap 10 hingga 20 minit pada peringkat terakhir kehamilan.
Mungkin sukar bagi anda membeza sakit kelahiran palsu dengan yang benar, terutamanya jika kerengangan uterus sungguh tidak selesa. Tetapi, sakit kelahiran palsu tidak akan membawakan sebarang perubahan pada serviks anda. Doktor anda boleh membuat pemeriksaan vagina untuk menentukan.

Apa akan jadi jika kontraksi Braxton Hicks menjadi lebih sakit?
Apabila kehamilan anda berlalu, kontraksi ini mungkin menjadi lebih sakit dan kadangkala amat tidak selesa. Walau bagaimanapun, jika anda merasakan kontraksi anda menjadi reda dengan cara apapun, kemungkinan besar ianya Braxton Hicks.
Setengah profesional kesihatan mengesyorkan supaya anda menganggap Braxton Hicks sebagai “kontraksi latihan” bukan saja bagi uterus anda, juga bagi anda sendiri supaya boleh berlatih menggunakan latihan pernafasan yang anda akan memperolehi di kelas antenatal anda.
Anda mungkin sedar yang kontraksi datang dengan lebih kerap jika anda melakukan aktiviti fizikal walaupun ringan, seperti membawa barang beli-belah dari kereta. Jika anda merasa kurang selesa, kadangkala ianya membantu jika anda berbaring, atau sebaliknya, bangun dan pergi berjalan-jalan – perubahan aktivitilah yang akan meredakan sebarang kesakitan yang dirasakan. Kadangkala mandi air panas juga membantu.

Bilakah saya harus memanggil doktor???

Jika anda hamil kurang dari 37 minggu panggillah doktor anda jika kontraksi diikuti oleh:
* lelehan yang melekit dan berdarah;
* sakit pinggang atau kekejangan.
Ini semua adalah tanda-tanda yang menunjukkan kelahiran pramatang.
Selepas 37 minggu, panggil doktor anda jika:
* pergerakan bayi anda sudah mengurang;
* anda fikirkan anda sudah pecah ketuban;
* jika anda mengalami sebarang pendarahan.
Rujuk simptom-simptom kehamilan anda tidak harus abaikan.
Jika kontraksi menjadi lebih panjang dan kuat, lebih berkala dan kerap, ini menunjukkan proses kelahiran mungkin sudah bermula. Doktor anda mungkin sudah bercakap dengan anda tentang apa harus dilakukan apabila anda merasakan yang kelahiran sudah bermula, tetapi jika anda merasakan sebarang keraguan, hubungilah dia.

Tanda-tanda Hampir Bersalin:

Ramai wanita merasa bimbang yang mungkin mereka tidak dapat mengenali tanda-tanda hendak bersalin sekiranya ia terjadi. Adalah penting untuk anda mempelajari tanda tanda awal bersalin supaya anda boleh membuat persediaan yang optimal untuk menghadapi kelahiran.

Apakah tanda-tanda hampir bersalin?

Tanda-tanda bersalin berbeza bagi kebanyakan wanita.
Bayi turun ke bawah:
Perut menjadi ringan sekitar dua minggu sebelum kelahiran kerana kepala bayi sudah pun ‘turun’ ke dalam kawasan rangka tulang pelvis. Anda mungkin terasa:
* sakit di bahagian kelangkang kerana bayi menekan.
* kerap membuang air kecil semasa ini kerana bayi menekan pundi kencing
* sakit perut, memulas
* kerap buang air besar
* kerap terkentut
Keluar lendir pekat atau keluar darah bercampur lendir:
* Lendir pekat seperti gam lekang dari laluan pintu rahim apabila pintu rahim mula menipis.
* Lendir bercampur darah pula keluar apabila pintu rahim mula membuka. Boleh berlaku beberapa jam atau beberapa hari sebelum bersalin. Segera ke hospital.
Sakit belakang:
* Bayi beralih dan menekan tulang belakang anda.
* Untuk mengurangkan sakit belakang anda, posisikan diri anda seperti merangkak (tapi jangan merangkak ke depan!), dan angkat atau tinggikan badan anda ke atas, tunggu kiraan 5 dan rehatkan badan anda. Ulangi lagi.
* Anda juga boleh mengurangkannya dengan banyakkan berjalan. Ia juga akan mempercepatkan kelahiran anda.
* Jika sukar untuk anda berjalan, minta suami anda urut belakang anda dengan kuat semasa anda berbaring mengiring.
Pecah air ketuban
Air ini biasanya keluar dengan banyak dari vagina. Warnanya jernih, tanpa bau. Segera ke hospital.
Pintu pangkal rahim terbuka dan menipis
Doktor akan melakukan pemeriksaan vagina. Pembukaan di bahagian pangkal rahim atau servik dikesan dengan skala 1 hingga 10.
Kontraksi yang tetap dan berterusan.
Kira kontraksi atau pengecutan otot rahim anda. Buat jadual. Baca seterusnya di artikel “Kontraksi, Kelahiran Sebenar atau Palsu”

Bila Perlu ke Hospital???
Segera ke Hospital untuk kepastian doktor bila:
* kontraksi 5 minit sekali selama 1 jam. (datang lebih cepat jika anda tinggal jauh. Anda pasti tak mahu bersalin dalam kereta )
* keluar air ketuban.
* pergerakan bayi menjadi kurang kerap.
* keluar darah dari vagina.
* apa saja masalah yang dialami.

Peringkat-peringkat Kelahiran:


Kelahiran dibahagikan kepada beberapa peringkat. Peringkat pertama bermula dengan bukaan servix dari 1 cm-10 cm. Peringkat kedua pula ialah kelahiran bayi dan yang ketiga kelahiran uri dari rahim.

Peringkat Pertama:

Ialah peringkat yang paling lama. Disini bermula apabila anda mengalami kontraksi dan serviks anda membuka secara perlahan-lahan. Peringkat ini pula terbahagi kepada 2 iaitu fasa laten dan fasa aktif. Fasa laten ialah apabila serviks membuka dianatara 1-3 cm dan selalunya mengambil masa 8 jam maksima.
Kebanyakkan wanita tidak merasa terlalu sakit pada waktu ini kerana kontraksi tidaklah begitu kuat dan kerap lagi.
Fasa aktif pula ialah dimana kontraksi sudah mencapai tahap kuat dan serviks anda sudahpun membuka lebih dari 3 cm. Kontraksi mungkin terjadi setiap 4-5 min dan semakin lama untuk berhenti.
Anda boleh meminta ubat penahan sakit untuk mengurangkan sakit anda. Berbincanglah dengan doktor apa pilihan ada untuk mengurangkan sakit anda. Jangan cuba untuk meneran kerana ia tidak menolong anda mempercepatkan proses bersalin, sebaliknya ia boleh mengurangkan tenaga anda untuk proses meneran yang sebenarnya. Serviks selalunya membuka 1 cm setiap jam bagi anak sulung dan ia menjadi lebih cepat bagi kehamilan seterusnya.

Peringkat Kedua:

Pada masa ini serviks sudahpun terbuka sebanyak 10 cm. Kontraksi sudah berada pada tahap maksima dan anda akan merasa kesakitan yang ketara. Bila kepala bayi sudah mencecah otot pelvis, anda akan merasai satu perasaan untuk meneran. Pada masa inilah anda digalakan untuk mempraktis teknik pernafasan yang diajar dikelas antental. Peringkat ini berakhir dengan kelahiran bayi selalunya berakhir kurang dari 1 jam.

Peringkat Ketiga:

Anda dibenarkan memegang dan mencium sicomel anda pada masa ini. Peringkat ini berakhir dengan pengeluaran uri yang lengkap. Ia selalunya berakhir kurang dari ½ jam.

Apa yang berlaku selepas bersalin???

Selepas bersalin, doktor selalunya akan memeriksa tekanan darah, denyutan nadi dan pengecutan rahim untuk memastikan semuanya normal. Untuk beberapa jam seterusnya, anda mungkin akan merasa sakit seperti senggugut dan kadang-kadang ia berlanjutan untuk beberapa hari.
Anda digalakan untuk memberikan susu badan kepada bayi. Bagi yang tidak mampu menyusukan, infant formula akan diberikan. Bayi akan diperiksa secara menyeluruh oleh pakar bayi dan sekiranya tiada masalah, anda dan bayi akan dibenarkan pulang keesokkan harinya.

Rujukan:
1)http://portal.alamhamil.com/index.php
2)http://www.babycenter.com.my/
3)http://ratuhati.com/index2.php

No comments:

Post a Comment