Friday, March 2, 2012

Tazkirah Jumaat: Berkat Rezeki Kerana Sedekah

Kekayaan tidak membawa erti tanpa ada keberkatan. Dengan adanya
keberkatan, harta/rezeki yang sedikit akan dirasakan seolah-olah banyak
dan mencukupi. Sebaliknya tanpa keberkatan akan dirasakan sempit dan
susah meskipun banyak harta.

Dalam kisah Nabi, ada diceritakan Nabi Ayub ketika sedang mandi
tiba-tiba Allah datangkan seekor belalang emas dan hinggap di lengannya.
Baginda menepis-nepis dengan bajunya. Lantas Allah berfirman 'Bukankah
Aku lakukan begitu supaya kamu menjadi lebih kaya?' Nabi Ayub mejawab
'Ya benar, demi keagunganMu apalah makna kekayaan tanpa keberkatanMu'.
Kisah ini menegaskan betapa pentingnya keberkatan dalam rezeki yang
dikurniakan oleh Allah.

Cara untuk mendapatkan keberkatan daripada Allah.

Bersyukur atas apa yang diberikan oleh Allah.
Belanjakan harta pada jalan yang diredhai oleh Allah.
Berusaha untuk mendapatkan rezeki yang halal
Keluarkan sedekah wajib (zakat) jika sampai nisab dan berikan sedekah
sunat kepada orang miskin dan anak yatim.
Bersedekah kepada anak yatim/miskin kalau boleh setiap hari.
(cari anak-anak yatim untuk diberikan). Insyallah akan diganti oleh
Allah tanpa kita sedari.
Ikhlaskan pemberian/sedekah hanya kepada Allah bukan mengharapkan pujian
dan sebagainya. (Pemberian tangan kanan tanpa diketahui tangan kiri).
Sedekah mulakan dengan keluarga sendiri dahulu selepas itu barulah
kepada jiran dan orang-orang yang lebih jauh. Jangan anggap pemberian
itu hak kita sebenarnya dalam harta kita ada hak mereka.
Hulurkan pemberian sunat secara rahsia - tetapi pemberian wajib
(zakat)perlu diberi secara terangan sebagai menegakkan syiar Islam.
Konsep sedekah : berikan sesuatu yang kita sayangi. Ini jelas dalam ayat
Quran Ali Imran ayat 92
Cari harta dunia untuk dijadikan bekalan akhirat. (Dunia untuk akhirat -
bukan dunia untuk dunia)
Amalan yang diberkati ialah hasil peluh sendiri dan juga melalui
jualbeli (perniagaan). Menurut Nabi 9/10 (90%) daripada sumber rezeki
ialah berpunca daripada perniagaan. Makan gaji mungkin 1/10 sahaja
(10%). Nabi Muhammad sendiri sebelum diutus menjadi rasul adalah seorang
ahli perniagaan yang jujur, cekap dan amanah. Peniaga yang amanah akan
dibangkitkan bersama para nabi dan rasul di akhirat kelak. Perniagaan
merupakan amalan fardu kifayah. Barang makanan orang Islam sepatutnya
dikeluarkan sendiri oleh orang Islam. Kalau tidak ada menjalankan
aktiviti ini, seluruh umat Islam berdosa.
Hulurkan bantuan kepada janda yang ketiadaan suami.
Dalam satu hadith, Nabi menerangkan setiap awal pagi, semasa terbit
matahari ada dua malaikat menyeru kepada manusia di bumi. Yang satu
menyeru 'Ya Tuhanku, kurniakanlah ganti kepada orang yang membelanjakan
hartanya kerana Allah'. Yang satu lagi menyeru 'Musnahkanlah orang yang
menahan hartanya (lokek)'

Orang yang bakhil tidak manfaatkan hartanya untuk dunia dan akhiratnya.
Menginfaqkan (Belanjakan) harta adalah berkat, sebaliknya menahannya
adalah celaka. Dalam hadith lain, nabi bersabda takutilah api neraka
walaupun dengan sebelah biji tamar. Dan sabdanya lagi, sedekah itu
penghapus dosa sebagaimana air memadam api.

Sedekah walaupun kecil tetapi amat berharga di sisi Allah. Dan
digalakkan memberi sedekah pada awal pagi. Sekiranya dapat diamalkan
perkara-perkara di atas, insyallah rezeki yang dikurniakan oleh Allah
akan kekal walaupun telah digunakan. Allah akan membalas atau
menggantikan apa yang telah dibelanjakan. Amalkan ilmu yang ada, nanti
Allah akan menambahkan ilmu lagi. Begitu juga harta - belanjakan harta
yang ada, Allah akan tambahkan lagi dari sumber yang kita tidak ketahui.

"Hai insan yang alpa Kehinaan bagi mu Kebangaan bagi ku"

No comments:

Post a Comment